Bekalan telur dari India tiba hari ini, tampung kekurangan bekalan

Bekalan telur dari India tiba hari ini, tampung kekurangan bekalan

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sudah membawa masuk telur ayam dari negara luar untuk menampung kekurangan bekalan di negara ini sejak beberapa bulan lalu.

MAFS dalam kenyataan berkata, pihaknya membenarkan kemasukan telur ayam dari India hari ini melalui laluan udara, sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur yang diimport itu menepati segala piawaian ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, MAFS melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk negara.

“Pemerikaan secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Pengujian ini bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Dalam pada itu, MAFS berkata, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar itu bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan kecukupan bekalan.

“Ia bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

MAFS berkata, hasil ujian yang dilaksanakan oleh MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas daripada penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara.

“Sehubungan itu, Kementerian bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam daripada sumber luar dan kebenaran ini akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil,” katanya. – Malaysiapost

Komen