BN akan terus bersama Kerajaan Perpaduan memilhara prinsip Rukun Negara – Zahid

BN akan terus bersama Kerajaan Perpaduan memilhara prinsip Rukun Negara – Zahid

KERAJAAN Perpaduan perlu terus memelihara Islam sebagai agama Persekutuan, mempertahankan sistem Raja Berpelembagaan, memperkukuh Demokrasi Berparlimen, dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Perkara itu diakui Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, BN telah memperhalusi semua perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia terkandung dalam intipati Perjanjian Permuafakatan Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani hari ini. 

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah buat Malaysia apabila berlangsungnya Majlis Perjanjian Pemuafakatan di antara gabungan-gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Barisan Nasional sebagai sebahagian daripada komponen Kerajaan ini telah bersama memperhalusi dan memastikan beberapa perkara asas dapat diperakukan agar agenda perpaduan dapat dilaksanakan seterusnya membina sebuah negara Malaysia yang lebih baik, stabil, sejahtera, inklusif, dan makmur,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Mengulas mengenainya, Ahmad Zahid yang merupakan Presiden Umno menegaskan, perjanjian yang dimeterai gabungan lima parti politik itu dapat memastikan Kerajaan Perpaduan ini mempunyai iltizam berteraskan prinsip Rukun Negara. 

“Bagi memastikan agenda ini berjaya, Kerajaan Perpaduan perlu beriltizam mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif, majmuk serta bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara.

“Ini adalah sebahagian daripada prinsip-prinsip utama yang menjadi teras Barisan Nasional dalam bersama-sama membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan fokus mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya. 

Timbalan Perdana Menterinitu juga berkata, Kerajaan Perpaduan yang kukuh akan dapat memastika ekonomi negara dipacu sekali gus memakmurkan rakyat. 

“Pembentukan Kerajaan Perpaduan ini juga perlu terus mencipta dan menjana peluang ekonomi mengikut pertumbuhan yang disasarkan demi kemakmuran rakyat,” katanya. -Malaysiapost

Komen