Kerajaan Pahang arah tapak perkhemahan hentikan operasi serta merta

Kerajaan Pahang arah tapak perkhemahan hentikan operasi serta merta

SUSULAN musim tengkujuh melanda negara, semua tapak perkhemahan di Pahang yang menawarkan perkhidmatan kepada orang awam diarahkan menghentikan operasi dengan serta-merta. 

Arahan itu dikeluarkan membabitkan tapak dikendalikan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan pihak swasta. 

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Mohd Hizamri Mohd Yassin berkata, tujuh lokasi taman eko rimba (TER) kendalian jabatan itu sudah ditutup kepada orang awam sejak 1 November lalu. 

“Kawasan tapak khemah tumpuan orang awam dalam kawasan taman eko rimba diuruskan jabatan sudah ditutup sementara sejak 1 November sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. 

“Penutupan itu membabitkan TER Chamang dan Lentang di Bentong, TER Sungai Pauh, Cameron Highlands, TER Jerangkang, Kuantan, TER Lata Berembun dan Lata Lembik di Raub dan TER Gunung Senyum di Temerloh. 

“Sementara itu, dua kawasan TER yang dikendalikan pihak swasta dan mempunyai tapak perkhemahan iaitu Parit Falls, Cameron Highlands dan Lubuk Yu, Maran juga diarahkan ditutup serta-merta bermula hari ini,” katanya dipetik Malaysiakini, malam ini. 

Mohd Hizamri turut memaklumkan arahan penutupan itu juga terpakai kepada semua tapak perkhemahan dalam kawasan hutan simpan di Pahang. 

Berdasarkan rekod, terdapat 26 TER dan taman hutan negeri di seluruh Pahang. 

Dengan arahan penutupan itu bermakna tidak ada sebarang permit akan dikeluarkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi aktiviti riadah dalam kawasan terbabit. 

Orang ramai yang memasuki kawasan hutan simpan kekal tanpa permit untuk tujuan beriadah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh. -Malaysiapost

Komen