‘Mana pergi duit MPN?’ – Puad

‘Mana pergi duit MPN?’ – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan ke mana peruntukan khas untuk Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerajaan terdahulu dibelanjakan.

Mohd Puad berkata, beliau difahamkan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Pengerusi MPN, Ahli Parlimen Pagoh itu menerima peruntukan khas beratus juga ringgit daripada peruntukan Perdana Menteri ketika itu.

“Persoalannya ke mana duit itu dibelanjakan. Adakah dibelanjakan untuk parti Bersatu sahaja. Semoga Muhyiddin tampil perjelaskan. Elok juga Audit Negara buat pendedahan,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, sekiranya benar peruntukan itu digunakan untuk tujuan lain, tidak hairanlah penubuhan MPN tidak mencapai matlamat.

“Kalau betul, patutlah kewujudan MPN tidak berkesan. Membazir duit rakyat dan jadi alat politik. Ini belum cerita pasal RM92 Bilion. Mengejutkan,” katanya.

Pada September 2021, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Pelantikan berkenaan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

Komen