Pengguna FB ditahan polis kerana hina Agong berkaitan pelantikan PM ke-10

Pengguna FB ditahan polis kerana hina Agong berkaitan pelantikan PM ke-10

GARA-GARA menghina Yang di Pertuan Agong (YDPA) , seorang lelaki ditahan polis di Teluk Intan, semalam.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kerana disyaki memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap YDPA , berkait pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

“Tangkapan dibuat ekoran daripada siasatan yang dijalankan membabitkan laporan polis berkait hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang dimuat naik menerusi laman Facebook ‘As Bul’.

“Siasatan kemudian dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sehinggalah suspek tertangkap, semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah menjelaskan, dalam tangkapan itu, pihak polis turut merampas satu telefon bimbit serta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.

“Suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 Disember untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Sementara itu, Noorsiah menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan tidak menggunakan platform media sosial untuk membangkitkan kegusaran dan kebencian yang boleh menggugat keharmonian negara terutama membabitkan isu 3R (raja, agama dan kaum).

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya. -Malaysiapost

Komen