Ronaldo menangis, mengaku tak merompak

Ronaldo menangis, mengaku tak merompak

SEBAIK sahaja pertuduhan dibacakan, seorang lelaki warga Filipina gagal menahan emosi lalu menangis di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini.

Ronaldo Dugasan, 51, yang menangis berulang kali menyatakan dirinya tidak bersalah didakwa terbabit rompakan berkumpulan bersama tujuh rakan senegaranya.

“Saya bukan perompak, saya penyeluk saku sahaja. Keluarga tidak tahu saya ditangkap.

“Kes (mahkamah) bukan ada di sini sahaja, ada lagi di Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya memetik Harian Metro, hari ini.

Bagaimanapun, Hakim Mohammad Khalid menasihati tertuduh supaya memaklumkan masalah dihadapi itu kepada ahli keluarganya agar mereka boleh meminta bantuan daripada pihak kedutaan atau peguam berhubung perkara itu.

Terdahulu, Ronaldo bersama tujuh tujuh lagi warga Filipina mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki warga Bangladesh membabitkan kerugian wang tunai RM14,800.

Ronaldo bersama enam yang lain iaitu Jemar Yulor, 37; Noel Guiral, 50; Danny Sumalinog, 53; Hector Jude, 37; Ramil Cabalo, 52 dan Rosalito Redublado, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Kesalahan itu didakwa dilakukan bersama seorang lagi suspek yang masih bebas di satu lokasi sekitar daerah Timur Laut kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 13 November lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas semua tertuduh yang memasuki negara ini menggunakan visa pelancong.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan dua penjamin rakyat Malaysia dan menetapkan 30 Januari depan untuk sebutan semula kes. -Malaysiapost

Komen