Saya yakin perjanjian persefahaman ini menguatkan lagi Kerajaan Perpaduan – Azalina

Saya yakin perjanjian persefahaman ini menguatkan lagi Kerajaan Perpaduan – Azalina

INTIPATI kandungan Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan yang selari dengan titah Yang di Pertuan Agong akan memperkukuhkan lagi kestabilan politik sekali gus memakmurkan rakyat dan negara. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, termeterainya perjanjian berkenaan oleh parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada hari ini akan membolehkan agenda pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan lebih baik. 

“Saya yakin Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini, selaras dengan titah Yang di Pertuan Agong, akan menguatkan lagi Kerajaan Perpaduan ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dengan memulihkan kestabilan politik dan melaksanakan agenda perpaduan dan reformasi institusi. 

“Seterusnya membina sebuah negara Malaysia yang lebih stabil, sejahtera, inklusif, dan makmur,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mengulas mengenainya, Azalina berkata, perjanjian yang ditandatangani lima ketua parti politik hari ini membuktikan kesepakatan padu diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin Kerajaan Perpaduan ini. 

“Majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama untuk membentuk kerajaan gabungan (yang dikenali Kerajaan Perpaduan Malaysia) oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS),  Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Parti Warisan hari ini jelas menunjukkan sokongan padu lima gabungan politik kepada kerajaan yang diketuai oleh YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim, selaku Perdana Menteri Malaysia ke-10. 

“Sebagaimana termaktub dalam Perjanjian, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan agensi-agensi di bawah seliaannya akan terus berpegang kepada prinsip-prinsip yang digariskan dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama, termasuk  untuk  menegakkan keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman dan institusi-institusi awam, memperkuatkan dan mengupayakan pemisahan kuasa antara cabang-cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman Kerajaan Persekutuan serta terus menjamin hak kebebasan berfikir, bersuara, bergerak, berhimpun dan berpersatuan. 

“Untuk memastikan keharmonian dan keadilan, Kerajaan Perpaduan ini akan menjunjung dasar-dasar dan pendirian berkaitan kedudukan Islam, Melayu/Bumiputra, Raja-raja Melayu, dan Bahasa Melayu sepertimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, serta mempertahankan hak dan kebebasan rakyat bukan Melayu/Bumiputra/Islam supaya bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -Malaysiapost

Komen