Tanah runtuh: PM arah misi menyelamat dijalankan dengan sistematik, rapi

Tanah runtuh: PM arah misi menyelamat dijalankan dengan sistematik, rapi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan misi mencari dan menyelamat dijalankan secara rapi, sistematik membabitkan semua jabatan kerajaan dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali, awal pagi tadi.

Malah, Perdana Menteri juga menasihati menteri yang turun ke lokasi kejadian supaya tidak mengganggu kerja operasi dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa.

“Dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.

“Saya juga dimaklumkan Menteri-Menteri terlibat akan turun ke lokasi pada pagi ini. Namun, saya menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat,” kata dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengesahkan beliau akan turun ke kawasan bencana malam ini bagi mendapatkan sendiri maklumat lanjut mengenai kejadian.

“Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lapan disahkan maut, manakala 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

Polis mengesahkan angka itu, setakat jam 10.16 minit pagi tadi. – Malaysiapost

Komen