Tanah Runtuh: Sah 19 mangsa terkorban, 14 masih belum ditemui

Tanah Runtuh: Sah 19 mangsa terkorban, 14 masih belum ditemui

19 mangsa disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang menimpa tiga tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat Batang Kali, awal pagi tadi.

Manakala, 14 mangsa lagi masih hilang dan usaha mencari sedang giat dijalankan.

Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa ke-17 dan 18 ditemukan berpelukan pada pukul 4.40 petang tadi.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai seorang ibu bersama anak ditemui dalam keadaan berpelukan di kawasan tertimbus dengan tanah.

“Terkini pada setengah jam lalu, (anggota penyelamat) menemukan seorang lagi (mangsa), tetapi dalam proses bawa keluar.

“Peringkat awal 16 orang (yang maut) ditemukan di Hill Side, baki dua (berpelukan) di River Side dan (mayat) ke-19 jumpa di River Side juga.

“Kebanyakan mangsa ditemukan tertimbus lebih kurang tiga atau empat kaki (kedalaman),” katanya kepada media, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, 16 mayat mangsa yang ditemukan sehingga pukul 1 petang tadi pada mulanya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bagaimanapun, semua mayat mangsa dipindahkan ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

“Mana-mana pihak yang mahu membuat pengecaman diminta datang ke Hospital Sungai Buloh atau datang ke lokasi untuk berhubung dengan komander operasi,” katanya.

Usaha mencari dan menyelamatkan baki mangsa yang hilang pada waktu malam mungkin ditangguhkan, namun katanya, pihaknya sedang berbincang dengan pihak bomba berhubung perkara itu.

“Pada waktu malam, pastinya ada halangan dari segi cuaca, teknikal dan faktor keadaan gelap sekali gus menyebabkan ancaman yang tidak nampak.

“Jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, kami mungkin akan menangguhkan operasi ini pada waktu malam,” katanya. -Malaysiapost

Komen