Tragedi runtuhan cerun: 3 tapak perkhemahan beroperasi secara haram

Tragedi runtuhan cerun: 3 tapak perkhemahan beroperasi secara haram

TIGA tapak perkhemahan yang terlibat dalam runtuhan cerun di Jalan Batang Kali-Goh Tong di Batang Kali, beroperasi secara haram sejak 2020.

Mendedahkannya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata ketiga-tiga tapak itu hanya memiliki Kebenaran Merancang untuk aktiviti pertanian organik, diluluskan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) pada 2019.

Berikutan itu, Kor Ming menegaskan, pengusaha tapak tersebut didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Jalan Saliran dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda maksimum RM50,000, lapor Berita Harian.

“Kerajaan akan ambil tindakan tegas. Kedaulatan undang-undang adalah Rukun Negara kita, tiada siapa boleh melangkaui undang-undang.

“Malah, tindakan ini bukan hanya tertakluk kepada pengusaha tapak ini, sebaliknya akan diperluas ke seluruh negara. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengeluarkan kompaun manakala Pejabat Peguam Negara (AGC) akan buat pertuduhan di mahkamah.

“(Semua pengusaha tapak perkhemahan tidak berlesen diminta) hentikan operasi masing-masing, segera mohon lesen sebelum tindakan diambil,” katanya hari ini. – Malaysiapost

Komen