Usah panjangkan isu penamatan khidmat KPPA – CUEPACS

Usah panjangkan isu penamatan khidmat KPPA – CUEPACS

CUEPACS meminta semua pihak terutama warga perkhidmatan awam untuk terus bergerak ke hadapan dan tidak memanjangkan isu penamatan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, hingga menjejaskan khidmat kepada rakyat.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata begitu juga pihak luar tidak menggunakan isu penamatan perkhidmatan itu sebagai modal politik yang boleh mengelirukan mana-mana pihak.

Katanya, selari keputusan penamatan diambil melalui prosedur Penamatan Demi Kepentingan Awam, semua pihak perlu menghormatinya.

“Keputusan telah dibuat kerajaan bersandarkan hasil dapatan daripada jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan dan semua pihak harus menghormatinya sebagai suatu pengajaran berguna.

“Prinsip saling hormat menghormati antara warga kerja tidak kira jawatan atau skim perkhidmatan harus dipupuk dalam perkhidmatan awam.

“Prinsip ini penting kerana suasana harmoni dan persekitaran kerja yang positif memberi kesan kepada mutu perkhidmatan yang cemerlang,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Malaysiapost

Komen