Wang RM10,000 tertimbus dalam tanah

Wang RM10,000 tertimbus dalam tanah

KEHILANGAN barang peribadi termasuk wang bernilai RM10,000 antara yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang melanda tiga rumah pekerja warga Myanmar berdekatan dengan tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, awal pagi tadi.

Ketiga-tiga rumah berkenaan hancur ditimbus tanah dan tiada apa yang boleh diselamatkan.

Salah seorang mangsa, Thawng Uk, 35, berkata ketika kejadian dia berasa rumah kayunya bergegar dengan kuat, sebelum bertindak berlari meninggalkan rumah sehelai sepinggang bersama 12 orang lagi.

“Kami terus berlari meninggalkan rumah dan 30 minit selepas itu, rumah kami hancur dan musnah ditimbus tanah runtuh.

“Kami tidak sempat membawa barang peribadi lain, termasuklah wang tunai RM10,000 yang dikumpul untuk dikirimkan kepada keluarga di kampung,” katanya dipetik Kosmo, hari ini.

Jelasnya, rumah tersebut telah didiami selama 12 tahun oleh mereka yang bekerja di kebun berhampiran dengan tapak perkhemahan tersebut terletak kira-kira 15 minit dengan berjalan kaki.

Sementara itu, seorang pekerja Myanmar yang lain, Mong Tan, 34, mengalami kecederaan di kaki kanannya sewaktu berlari menyelamatkan diri.

Dia tidak dapat membayangkan jika dia keseorangan dan bersyukur rakan-rakannya turut membantunya yang berada dalam kesakitan.

Mong telah pun mendapatkan rawatan daripada pasukan perubatan dan kesemua pekerja itu sedang menunggu majikan untuk menjemput mereka. -Malaysiapost

Komen