Waris mangsa korban tanah runtuh terima RM10,000 – PM

Waris mangsa korban tanah runtuh terima RM10,000 – PM

SEBANYAK RM10,000 sumbangan diberikan untuk setiap waris mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM1,000 Bantuan Wang Ihsan (BWI) juga diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa yang tidak terlibat dengan kematian.

“Pihak kerajaan kita akan menghulurkan bantuan segera yang akan diselaraskan oleh pihak Menteri Besar 

“Untuk mangsa yang meninggal dunia kita akan segerakan bantuan RM10,000 untuk permulaan dan RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa yang lainnya,” katanya yang ditemui media ketika meninjau kawasan bencana, malam tadi.

Perdana Menteri turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus melakukan operasi menyelamat dan mencari mangsa yang tertimbus di dalam tanah. 

“Datang untuk dengar taklimat bomba, polis, jabatan geologi, yang telah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan saya tentunya melahirkan rasa penghargaan kepada mereka kerana mereka bekerja dalam keadaan yang sukar dengan risiko yang besar. 

“Ini satu tragedi untuk kita dan pelbagai pihak menzahirkan rasa simpati daripada pemimpin negara luar termasuk tadi dari Perdana Menteri Singapura

“Saya hanya nak ulangi rasa sedih dan dukacita terhadap tragedi yang menimpa termasuk anak-anak kecil dan ibu,” katanya. 

Setakat ini, 22 mayat mangsa telah ditemui dan dibawa keluar dari kawasan bencana manakala 11 lagi mangsa masih belum ditemui. -Malaysiapost

Komen