CUEPACS harap gaji minimum RM1,800 dilaksanakan

CUEPACS harap gaji minimum RM1,800 dilaksanakan

CUEPACS berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menaikkan kadar gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, perkara itu pernah dicadangkan tiga tahun lalu, namun terhenti disebabkan pandemik Covid-19 dan pertukaran kerajaan.

“Kami mohon kepada kerajaan supaya melihat semula gaji minimum yang ada pada hari ini untuk sektor awam.

“RM1,200 ini amat jauh ketinggalan. Sempena kerajaan baharu ini CUEPACS berharap cadangan kami dilihat semula.

“RM1,800 campur dengan elaun maka boleh menghampiri RM2,450,” katanya.

Menurut Adnan, jika cadangan itu dapat direalisasikan bermakna jumlah gaji kakitangan awam menghampiri sasaran kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di Parlimen pada 27 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Adnan juga menyifatkan tuntutan tersebut sebagai munasabah kerana mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat pasca pandemik ini.

“Itulah kita cadangkan gaji minimum RM1,800 bagi penjawat awam, bagi CUEPACS kita rasa kerajaan mampu.

“Inilah tuntutan yang munasabah, mungkin kerajaan tidak mampu untuk umum dalam bentuk pelarasan gaji lain dalam keadaan apa yang telah disebut oleh PM hutang lebih RM1 trilion,” katanya.

Untuk rekod, kadar gaji minimum penjawat awam kini adalah pada paras RM1,200 sebulan.

Pada 1 Mei lalu, kerajan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi sektor swasta dalam perniagaan yang mempunyai lebih daripada lima pekerja. – Malaysiapost

Komen