Lokasi tragedi tanah runtuh sensitif kerana pembangunan – KUASA

Lokasi tragedi tanah runtuh sensitif kerana pembangunan – KUASA

LOKASI tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan milik Father’s Organic Farm adalah kawasan yang sensitif untuk pembangunan.

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin menjelaskan ciri fizikal kawasan itu adalah bukit batu granit yang dikelilingi Hutan Simpan Batang Kali iaitu hutan perlindungan tanah dan hutan taman negeri yang mempunyai kecerunan sekitar 30 hingga 45 darjah.

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin

“Ketinggiannya yang mencapai 600 meter daripada aras laut, membuatkan ia terletak dalam Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 2 di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN).

“RFN memperuntukkan, tiada sebarang pembangunan boleh dijalankan dalam kawasan KSAS Tahap 2, melainkan aktiviti seperti penyelidikan, pelancongan terkawal dan penebangan hutan secara terpilih,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Menurutnya, kawasan tragedi merupakan kawasan ladang pertanian organik, bagaimanapun kontraktor tidak membuat penanaman semula di kawasan cerun terbuka dengan pokok asal untuk mengawal runtuhan cerun.

Hafizudin berkata, aktiviti penebangan hutan secara habis untuk pembukaan ladang itu sudah tentu melanggar syarat KSAS Tahap 2.

“Zon guna tanah semasa mengikut maklumat daripada Jabatan Perancangan Bandar & Desa adalah zon komersial yang telah ditukar daripada zon berhutan sebelum ini.

“Jika benar kawasan ini zon komersial, bagaimana pembangunan ladang pertanian organik boleh dibenarkan?, sedangkan pembangunan ladang pertanian seharusnya di bawah zon pertanian,” katanya.

Menurutnya, beliau difahamkan pemilik tanah telah melanggar syarat-syarat kelulusan dengan memberi keizinan untuk pembukaan kawasan agro-pelancongan atau lebih tepat kawasan perkhemahan di dalam ladang.

Beliau berkata, projek glamping ini adalah projek yang haram dan tidak mendapat permit beroperasi sejak tahun 2020.

“Aktiviti pembangunan sebelum ini seperti pembukaan tanah untuk pembinaan jalanraya dan pembalakan telah melemahkan struktur cerun.

“Bencana ini berlaku pada cerun buatan (cerun tambakan, dan pembersihan ladang), dan bukannya pada cerun semulajadi,” katanya.

Sehubungan itu, Hafizudin meminta kerajaan dan rakyat mengambil iktibar supaya mengelakkan tragedi itu berulang sehingga mengorbankan ramai nyawa. – Malaysiapost

Komen