MoU bagi pastikan kerajaan tidak bertukar berkali-kali – Asyraf Wajdi

MoU bagi pastikan kerajaan tidak bertukar berkali-kali – Asyraf Wajdi

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan perjanjian permuafakatan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah bagi memastikan tiada berlaku ‘Scheme of Thing’ membawa kepada ‘jual beli’ Ahli-ahli Parlimen.

Beliau berkata, perjanjian permuafakatan dalam kerajaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan negara stabil bagi tempoh lima tahun akan datang, sekali gus tidak berlaku kerajaan bertukar ganti berkali-kali.

“Perjanjian permuafakatan antara parti-parti adalah untuk memastikan setiap pihak dalam kerajaan sentiasa menghormati dasar, polisi dan orientasi setiap parti yang bergabung.

“Selain tidak sesekali menyentuh hal-hal sensitif yang merosakkan keharmonian persepakatan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani gabungan lima parti politik semalam membuktikan Anwar tidak yakin raih sokongan majoriti Ahli Parlimen pada sidang khas Dewan Rakyat, Isnin ini.

Muhyiddin dalam kenyataan berkata, perjanjian yang memaksa Ahli Parlimen mengosongkan kerusi sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri, tidak pernah dilihat dalam mana-mana bentuk persefahaman atau undang-undang sebelum ini.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, perjanjian permuafakatan antara parti-parti adalah untuk memastikan tumpuan diberikan sepenuhnya untuk memacu kembali ekonomi dan mensejahterakan rakyat.

“Justeru, cukup-cukuplah berpolitik dan berpolemik. Fokus ke hadapan untuk sama-sama majukan negara dan menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda rakyat.

“Lima tahun lagi kembali bertarung di medan pilihan raya,” katanya.

Semalam, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Anwar bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Perkara itu dimeterai melalui Majlis MoU Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan, di bangunan Perdana Putra. – Malaysiapost

Komen