MoU Kerajaan Perpaduan bakal cetus ketenangan politik – Zahid

MoU Kerajaan Perpaduan bakal cetus ketenangan politik – Zahid

PERJANJIAN persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan yang dimetrai semalam, diyakini dapat membawa negara mendepani pelbagai cabaran ekonomi dan kewangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perjanjian itu adalah satu inisiatif jangka panjang untuk mengelak negara terus berpolitik, sekali gus memastikan Malaysia berada dalam tahap terbaik dan kukuh.

“Maka (dengan kestabilan itu) fokus kepada isu ekonomi dan rakyat dapat diutamakan. Fokus ekonomi perlu diberikan perhatian segera lebih-lebih lagi persediaan negara mendepani suasana ekonomi yang lembap.

“Malah Bank Dunia menjangkakan peningkatan agresif terhadap dasar kadar faedah di negara-negara seluruh dunia akan membawa kepada kemelesetan ekonomi global pada 2023.

“Terdapat juga kemungkinan Amerika sebagai kuasa ekonomi dunia akan terjerumus dalam masalah ekonomi dan ini memberikan kesan langsung yang tidak baik kepada dunia,” katanya menerusi Facebook.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, langkah kerajaan memastikan tarif elektrik tidak naik untuk menjamin harga barangan dan perkhidmatan tidak terkesan, adalah usaha serius kerajaan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Banyak lagi usaha membantu mengurangkan potensi kenaikan harga barang dan perkhidmatan dijangka akan diumumkan.

“Kesemua usaha ini perlu penelitian dan fokus terlebih dahulu untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, jangka waktu lima tahun bukanlah tempoh lama untuk untuk memulihkan ekonomi negara.

Justeru katanya, ketenangan politik dalam tempoh masa itu adalah penting agar rakyat dapat bersama-sama dengan kerajaan untuk membina negara yang lebih baik dan kembali disegani di mata dunia.

Menurut Ahmad Zahid lagi, Seri Perdana kini bukan lagi dilihat sebagai lingkungan elit tetapi menjadi medan awam terbuka bagi rakyat dengan berlangsungnya majlis dan program agama dan ilmiah setiap minggu.

“Sudah pasti ini mencatat sejarah apabila Seri Perdana dibuka kepada rakyat biasa sebagai tempat menimba ilmu dan menjalinkan hubungan muhibbah rakyat di negara ini. Maka, jurang rakyat dan pemimpin negara dapat dirapatkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen