MoU Kerajaan Perpaduan: Landskap baharu politik negara – Khairuddin

MoU Kerajaan Perpaduan: Landskap baharu politik negara – Khairuddin

PERJANJIAN persefahaman (MoU) lima gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani semalam, disifatkan sebagai satu landskap baru politik Malaysia yang membawa ke arah kestabilan untuk membangunkan negara.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata permuafakatan itu juga perlu dinilai semua pihak pada asas dan tujuannya.

“Permuafakatan Kerajaan Perpaduan Malaysia antara parti utama Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS, GRS dan Warisan, PBM dan KDM adalah satu landskap baru politik ke arah kestabilan politik bagi membangunkan negara,” katanya menerusi Facebook.

Khairuddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa persefahaman itu bertujuan mengangkat martabat negara untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipacu berasaskan tata kelola yang baik.

“Malah, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pula selaku Pengerusi BN menegaskan bahawa kebersamaan utama dalam permuafakatan dan perjanjian ini ialah mempertahankan prinsip asas Perlembagaan.

“Ia melibatkan empat teras iaitu Islam, Hak Istimewa Melayu, Bahasa Melayu dan Institusi Raja-raja Melayu.

“Beliau (Ahmad Zahid) juga menekankan permuafakatan ini bertujuan membina kestabilan politik dan memacu pertumbuhan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, ia sepertimana yang beliau perjelaskan sebelum ini bahawa sebarang permuafakatan politik dalam Islam adalah berasaskan panduan hadis Nabi SAW.

“Selagi mana syarat permuafakatan iaitu menjaga dan memelihara maslahat empat teras; Islam, Melayu, Bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu serta tidak dilakukan sebarang tindakan yang menggugat dan memudaratkannya maka menjadi kewajipan semua pihak yang bermuafakat memelihara dan menjaga muafakat Perpaduan Malaysia ini.

“Dalam situasi tiada parti yang boleh menubuhkan kerajaan bersendiri dengan angka mudah 112 Ahli Parlimen.

“Maka permuafakatan ini menjadi wadah bersama saling memerlukan dan saling melengkapi bagi memastikan kepentingan rakyat terjamin dan terpelihara,” katanya.

Semalam, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Anwar bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan. – Malaysiapost

Komen