MoU sokong Anwar tidak ikut perlembagaan, diktator – Mas Ermieyati

MoU sokong Anwar tidak ikut perlembagaan, diktator – Mas Ermieyati

MOU yang memaksa Ahli Parlimen undi percaya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah haram dan tidak berperlembagaan.

Malah, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ugutan serta intimidasi yang dibuat melalui perjanjian MoU terhadap Ahli Parlimen parti kerajaan ini adalah satu permulaan kepada pemerintahan ala diktator.

Menurutnya, despotisme jenis baru ini tidak pernah disaksikan sebelum ini di dalam sejarah politik atau Parlimen Malaysia.

“Pemaksaan Ahli Parlimen untuk mengundi menurut arahan adalah sama seperti dalam sistem di Korea Utara atau China.

“Ianya tiada tempat dalam sistem demokratik Malaysia,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Menurut Mas Ermieyati yang juga Naib Ketua Srikandi Bersatu, MoU yang dijana Anwar dan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) ini akan disemadikan selamanya sebagai titik hitam dalam sejarah negara dan tindakan subversif terhadap demokrasi berparlimen serta struktur asas perlembagaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru Ahli Dewan Rakyat daripada parti kerajaan supaya tidak takut menjalankan tanggungjawab mereka semata-mata kerana kewujudan perjanjian haram ini.

Jelasnya, menurut Artikel 49A, Ahli Parlimen tidak akan hilang kerusi semata-mata kerana mengundi berdasarkan pertimbangan sendiri.

“Kami menyeru semua Ahli Parlimen untuk mengundi menurut apa yang benar dan baik untuk negara ini dan rakyat, serta berdasarkan nurani (conscience).

“Ini adalah satu ancaman yang paling berbahaya terhadap demokrasi Malaysia dan kami berharap mereka akan membuat satu pendirian yang berani terhadap despotisme baru ini,” katanya.

Menurut Mas Ermieyati, Artikel 49A tidak boleh menyebabkan mana-mana kerusi dikosongkan atas alasan cara Ahli Parlimen mengundi.

Katanya, tidak ada apa-apa perkara seperti itu di dalam Artikel 49A, ia hanya merangkumi situasi di mana seseorang Ahli Parlimen tersebut meletakkan jawatan atau berhenti menjadi ahli partinya.

“Tidak mungkin Anwar dan pimpinan Umno tidak tahu berkenaan laporan jawatankuasa bipartisan ini.

“Jelas, mereka secara tidak jujur memilih untuk mengendahkannya dan ia tindakan terdesak untuk menakutkan dan mengugut Ahli Parlimen mereka sendiri walaupun membawa kepada kemudaratan terhadap demokrasi berparlimen,” katanya.

Lima gabungan utama iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) semalam menandatangani satu perjanjian menyokong Kerajaan Perpaduan.

MoU yang dinamakan Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan itu menggariskan kerjasama bersama bagi menamatkan kemelut politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ia bagi mengukuhkan pentadbiran kerajaan yang dipimpin Anwar. – Malaysiapost

Komen