MoU sokong Kerajaan Perpaduan telus, bukan dibuat ‘senyap-senyap’ – Asyraf Wajdi

MoU sokong Kerajaan Perpaduan telus, bukan dibuat ‘senyap-senyap’ – Asyraf Wajdi

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Perjanjian persefahaman (MoU) lima gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani semalam, dibuat secara telus.

Beliau berkata, menerusi perjanjian itu, seramai 148 Ahli Parlimen yang membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga, bersetuju untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Ia bagi memacu ekonomi negara dengan lebih berkesan sekali gus memakmurkan kehidupan rakyat berbilang agama dan bangsa tanpa sesekali membelakangi asas-asas utama negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, semua terma dalam MoU itu diperhalusi dan diolah bagi memastikan orientasi serta dasar perjuangan parti yang membentuk kerajaan tidak sesekali dikompromikan.

“Yang lebih penting perjanjian ini dibuat secara telus dan bukannya secara berahsia dan senyap-senyap sebagaimana pengalaman terdahulu,” katanya.

Dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi turut berkongsi dokumen perjanjian berkenaan yang mengikat parti-parti yang bergabung membentuk kerjasama dan permuafakatan bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Semalam, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Perkara itu dimeterai melalui Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan jam 3.15 petang di bangunan Perdana Putra.

MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung gabungan politik iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (BN) Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS) dan Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS).

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani oleh ketua gabungan iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

Menerusi matlamat perjanjian tersebut, gabungan itu bersetuju menjunjung kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan memelihara serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

Komen