Perjanjian permuafakatan tidak berpelembagaan – Muhyiddin

Perjanjian permuafakatan tidak berpelembagaan – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan, semalam, sebagai tidak berperlembagaan.

Beliau berkata, kandungan dalam perjanjian tersebut bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti.

Katanya, undang-undang anti lompat parti yang mula berkuat kuasa pada Oktober lalu tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat.

“Tidak ada mana-mana bahagian dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki seorang Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusinya jika beliau tidak menurut arahan parti dalam pungundian mana-mana usul atau rang undang-undang.

“Malah, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, perjanjian yang tidak berperlembagaan itu menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Ujarnya, jika Anwar yakin mendapat sokongan maka tidak perlu membuat perjanjian yang tidak berperlembagaan tersebut.

“Lebih daripada itu, saya bimbang sekiranya perjanjian ini dianggap sah, kerajaan pimpinan PH akan memaksa Ahli-Ahli Dewan Rakyat mereka mengundi usul-usul atau Rang Undang-Undang (RUU) lain pada masa akan datang, termasuk yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

“Ini kerana, seperti didakwa oleh Perdana Menteri, beliau telah pun mempunyai sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat, iaitu genap majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan Perlembagaan dibuat,” katanya. – Malaysiapost

Sementara itu, Muhyiddin berkata, sekiranya perjanjian persefahaman yang berunsur kediktatoran ini dianggap sah, tidak mustahil pindaan Perlembagaan yang bertentangan dengan naluri Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan nilai masyarakat di negara ini akan diluluskan oleh Dewan Rakyat secara paksa.

“Rakyat Malaysia tentunya tidak mahu pilihan raya yang diadakan secara bebas, adil dan demokratik akhirnya menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak demokratik,” katanya.

Semalam, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Anwar bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Perkara itu dimeterai melalui Majlis MoU Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan, di bangunan Perdana Putra.

MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung gabungan politik iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (BN) Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS) dan Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS).

Perjanjian kerjasama itu turut ditandatangani oleh ketua gabungan iaitu Anwar (PH), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor. – Malaysiapost

Komen