‘Saya jalan tugas secara pro bono, tiada elaun satu sen pun’ – Muhyiddin

‘Saya jalan tugas secara pro bono, tiada elaun satu sen pun’ – Muhyiddin

BEKAS Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak menerima sebarang elaun atau peruntukan ketika memegang jawatan berkenaan dalam kerajaan sebelum ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata beliau juga sudah meletak jawatan berkenaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas nasihat peguamnya.

“Sewaktu saya memimpin MPN pun saya jalankan tugas pro bono dan tidak mengambil elaun satu sen pun.

“MPN ini adalah badan penasihat sahaja, bukan eksekutif dan tiada peruntukan,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kesyukuran PN Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.

Menurut Muhyiddin, MPN tiada peruntukan dan perakuan dikemukakan kepada Kabinet untuk menyatakan apa tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan.

“Kalau ikutkan kiraan hari itu, kita ada 95 perkara, Kabinet semua dah lulus dan semestinya ada implikasi kewangan. Itu soal kerajaan tapi bukan peruntukan diberi kepada MPN.

“Di mana bukti yang tunjuk saya dapat duit berjuta-juta? Semua pembohongan, penipuan.

“Jadi pada saya, dia (Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi) patut belajar. Dah beberapa kali dia buat kenyataan tak betul semua tak betul pasal niat dia jahat.

“Saya tidak dapat peruntukan satu sen pun. Faktanya adalah MPN badan penasihat. Nak terima, terima. Tak nak tidak apa (pandangan),” katanya.

Sebelum in, Mohd Puad mempersoalkan ke mana peruntukan khas untuk MPN kerajaan terdahulu dibelanjakan.

Mohd Puad berkata, beliau difahamkan semasa Muhyiddin menjadi Pengerusi MPN, Ahli Parlimen Pagoh itu menerima peruntukan khas beratus juga ringgit daripada peruntukan Perdana Menteri ketika itu.

“Persoalannya ke mana duit itu dibelanjakan. Adakah dibelanjakan untuk parti Bersatu sahaja. Semoga Muhyiddin tampil perjelaskan. Elok juga Audit Negara buat pendedahan,” katanya. – Malaysiapost

Komen