‘Tolonglah bayar persembahan kami’ – Caliph Buskers

‘Tolonglah bayar persembahan kami’ – Caliph Buskers

KUMPULAN buskers terkenal, Caliph Buskers meminta pihak penganjur yang menjemput kumpulan itu membuat persembahan agar melunaskan bayaran seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Caliph Buskers berkata tujuan perkongsian itu dibuat kerana kumpulan itu sangat memerlukan bayaran yang sepatutnya diterima selepas selesai membuat persembahan.

Kata kumpulan itu, mereka sudah bertolak ansur termasuk tidak meminta bayaran deposit yang sepatutnya dibayar sebelum persembahan dibuat.

“Kami juga memohon sangat-sangat tolak ansur kalian untuk dapat membayar paling tidak separuh dahulu kepada kami.

“Kalaulah kalian tahu, kami sudah pun menolak beberapa undangan lain kerana mahu memenuhi undangan kalian.

“Ada juga antara kami yang datang ke tempat kalian tanpa membawa satu sen pun kerana mengenangkan janji kalian untuk membayar kami setelah selesai kami membuat persembahan,” kata hantaran itu, hari ini.

Kumpulan yang popular dengan lagu Hanya NamaMu itu juga berkata telah mengeluarkan sejumlah wang sendiri bagi membayar minyak, bayaran tol, dan gaji kru mereka.

Menurut Caliph Buskers, memandangkan persembahan itu diadakan di Pulau Pinang, mereka terpaksa meninggalkan keluarga kerana untuk pergi memenuhi jemputan itu.

“Setelah itu semua kami lakukan, takkanlah satu sen pun kami tak dapat terima dari kalian? Tolonglah kami. Kalau tak mampu bayar penuh, bayar sedikit-sedikit pun jadilah. Ini satu sen pun tak ada.

“Mohon kalian kasihankan kami sebelum kasihan kami pada kalian hilang dan memaksa kami bertindak tidak seperti yang kalian inginkan,” katanya.

Dalam hantaran itu, Caliph Buskers turut memuat naik surat perjanjian bayaran persembahan yang dipercayai dihantar oleh pihak penganjur.

Menerusi surat itu diperincikan penganjur menjemput Caliph Busker membuat persembahan pada 9 dan 10 Disember, di sebuah lokasi di Pulau Pinang.

Kandungan surat itu menyatakan bayaran penghabisan akan dilunaskan dalam masa lima hari bekerja dari tarikh persembahan. – Malaysiapost

Komen