Tragedi tanah runtuh : Isteri PM lawat mangsa di Hospital Selayang

Tragedi tanah runtuh : Isteri PM lawat mangsa di Hospital Selayang

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa melawat mangsa tragedi tanah runtuh Jalan Batang Kali-Genting Highland, di Hospital Selayang, hari ini.

Lawatan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diiringi Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Pengarah Hospital Selayang, Dr Afidah Ali.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat jam 1.30 petang tadi, sebanyak 94 mangsa yang terdiri daripada pengunjung dan pekerja tapak perkhemahan dilaporkan terlibat dalam nahas itu, 84 mangsa telah ditemui, manakala 10 mangsa masih dikesan.

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa melawat mangsa tragedi tanah runtuh Jalan Batang Kali-Genting Highland, di Hospital Selayang, hari ini.

“Sebanyak 54 mangsa mengalami kecederaan ringan, lapan mangsa mengalami kecederaan separa kritikal dan kritikal,

“..serta sebanyak 23 kematian telah dilaporkan yang terdiri daripada 13 wanita dewasa, empat (4) lelaki dewasa, lima (5) kanak-kanak lelaki, dan satu (1) kanak-kanak perempuan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, lapan mangsa yang mengalami kecederaan separa kritikal dan kritikal telah dirujuk ke hospital semalam untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Menurutnya, daripada jumlah itu, empat mangsa dirujuk ke Hospital Selayang, tiga ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan seorang ke Hospital Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, beliau berkata, mangsa-mangsa yang dirujuk ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut diiringi Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Pengarah Hospital Selayang, Dr Afidah Ali.

“Manakala, mangsa-mangsa yang dirujuk ke Hospital Kuala Kubu Bharu dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama setelah menjalani pemeriksaan dan penilaian status kesihatan, dengan salah seorang mangsa telah diberikan surat rujukan untuk rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut berdukacita di atas kejadian tanah runtuh yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada waris mangsa yang terlibat.

Tambah beliau, KKM akan terus memantau dan memaklumkan perkembangan terkini kejadian dari semasa ke semasa.

Terkini, jumlah mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highland, telah meningkat kepada 24 orang.

Satu lagi mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 4.35 petang tadi, manakala baki sembilan mangsa masih dikesan. – Malaysiapost

Komen