Tragedi tanah runtuh : Jenazah Nurul Azwani dikebumi malam ini

Tragedi tanah runtuh : Jenazah Nurul Azwani dikebumi malam ini

JENAZAH salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh DI tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Darul Sakinah, Kuala Lumpur malam ini.

Mangsa, Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, dari Pasir Puteh, Kelantan berhijrah ke Kuala Lumpur sejak enam tahun lalu dan bekerja di kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong.

Sepupunya, Abdul Muhaimin Ismail, 31, berkata, ahli keluarga mengambil keputusan untuk mengebumikan jenazah di Kuala Lumpur memandangkan semua keluarga terdekat tinggal di sekitar ibu negara.

Menurutnya, solat jenazah akan dijalankan di Masjid Abu Hurairah, Batu Lima selepas solat isyak malam ini sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Darul Sakinah.

“Ahli keluarga reda dengan pemergian arwah dan menganggap ini sebagai ketentuan takdir.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada semua anggota pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus membantu pencarian Nurul Azwani,” katanya memetik Kosmo Online.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim mengesahkan bahawa Nurul Azwani merupakan penduduk asal Kampung Gong Lapang di sini dan kali terakhir pulang ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.

“Saya akan menziarahi ahli keluarga mangsa terutamanya Siti Esah Hassan, 53, yang merupakan ibu kepada Nurul Azwani di Kuala Lumpur esok.

“Keluarga terdekat arwah semuanya tinggal di luar Kelantan. Saya turut difahamkan rumah mereka di kampung juga sudah tiada orang yang tinggal,” katanya.

Setakat malam ini, seramai 24 mangsa disahkan terkorban dan sembilan lagi masih hilang manakala 61 berjaya diselamatkan dalam kejadian dilapor membabitkan sejumlah 94 orang. – Malaysiapost

Komen