Tragedi tanah runtuh: Peluang mangsa ditemukan hidup tipis

Tragedi tanah runtuh: Peluang mangsa ditemukan hidup tipis

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan peluang untuk menemui 12 mangsa dalam keadaan selamat adalah amat tipis.

Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata ia berdasarkan faktor runtuhan dan jangka masa kejadian yang sudah memasuki hari kedua, sekali gus menyebabkan peluang untuk mangsa hidup amat tipis.

“Runtuhan melibatkan badan mangsa ditimbus dengan tanah sekali gus mengakibatkan mangsa sesak nafas berdasarkan keadaan dan lokasi kejadian.

“Melainkan sekiranya mangsa di kawasan timbunan tanah yang mana terdapat timbunan kayu dan batu, risiko mangsa selamat mungkin ada kerana mempunyai ruang udara,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Norazam berkata, masih terdapat aliran air bawah tanah di lokasi yang boleh menyebabkan gelongsoran.

“Disebabkan itu kita mengehadkan pertambahan anggota. Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk memasang sistem di tiga lokasi yang berkemungkinan berlaku gelongsoran.

“Jika berlaku gelongsoran, tanah akan turun dan ini menyebabkan kita hadkan jumlah pasukan penyelamat,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Facebook JBPM

Komen