‘Uji’ keabsahan Anwar, tumpuan sidang Parlimen Isnin ini

‘Uji’ keabsahan Anwar, tumpuan sidang Parlimen Isnin ini

PERSIDANGAN Parlimen yang pertama selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan bermula Isnin ini, bakal menjadi perhatian kerana agenda utamanya pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Usul undi percaya itu bertujuan membuktikan Anwar, mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk memimpin kerajaan baharu selepas keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, usul undi percaya terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu terkandung pada nombor lapan urusan persidangan.

Keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri dijangka tidak tergugat susulan Perjanjian Persefahaman Kerjasama (MoU) dimeterai antara gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan, semalam.

Lima gabungan politik utama – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani Mou bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.

Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan Ahli Parlimen dalam gabungan kerajaan perpaduan mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan, dikira meletak jawatan.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung selama dua hari itu, turut menyaksikan pemilihan Speaker Dewan Rakyat baharu.

Selain itu, Ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 turut mengangkat sumpah dan pemilihan timbalan Speaker.

Sebelum ini, media melaporkan Tan Sri Azhar Azizan Harun akan mengosongkan kedudukannya sebagai Speaker Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

Urusan mesyuarat persidangan itu turut memasukkan pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pertama 5 Disember lepas berkata, persidangan Parlimen pertama itu juga akan membentang dan meluluskan peruntukan khas atau mini bajet bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari. – Malaysiapost

Komen