5 PKOB di Kelantan diaktifkan

5 PKOB di Kelantan diaktifkan

LIMA Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di Kelantan telah diaktifkan yang bertindak untuk mengkoordinasikan pengurusan banjir negeri.

PKOB terbabit ialah di Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh.

Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, seramai 1,545 mangsa banjir melibatkan 461 keluarga direkodkan sehingga jam 1 tengahari tadi.

Justeru, beliau berkata, sebanyak 16 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga sudah dibuka.

“Seluruh rakyat perlu sentiasa peka kepada perkembangan dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Saya juga telah mengarahkan wakil rakyat, ketua jajahan dan pegawai terutama di kawasan berisiko banjir supaya mengambil langkah proaktif dan cakna mengenai keselamatan dan kebajikan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan ramalan terkini perkembangan ramalan hujan lebat tahap bahaya di seluruh Kelantan sehingga 21 Disember.

Katanya, paras air sungai utama di Kelantan juga menunjukkan peningkatan dan melepasi paras bahaya.

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh rakyat Kelantan tidak mengambil mudah setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah.

“Apabila arahan dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan sebolehnya dilaksanakan sebelum waktu Maghrib.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan supaya melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri kita tidak dilanda dengan banjir besar,” katanya. – Malaysiapost

Komen