Agong berkenan hadir Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Doha

Agong berkenan hadir Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Doha

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia di Doha, semalam.

Ia sempena lawatan khas Seri Paduka ke Qatar.

Istana Negara menerusi Facebook memaklumkan, keberangkatan Al-Sultan Abdullah diiringi Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Arif Temenggung, Tengku Fahad Mua’adzam Shah.

Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan turut hadir pada majlis berkenaan.

Pada majlis itu, Seri Paduka meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Qatar.

Majlis Santapan bersama diaspora Malaysia itu adalah satu daripada acara dalam rangka lawatan khas Al-Sultan Abdullah ke Doha atas persilaan peribadi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sempena temasya Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

Yang di-Pertuan Agong dijadual berangkat pulang dan tiba di tanah air esok. – Malaysiapost

Komen