Amaran hujan berterusan di 8 negeri sehingga Selasa

Amaran hujan berterusan di 8 negeri sehingga Selasa

JABATAN Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di lapan negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor, yang dijangka berlaku hingga 20 Disember ini.

Jabatan itu memaklumkan hujan yang sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Kelantan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai serta di Terengganu.

Menurut MetMalaysia amaran hujan berterusan (bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.

Hujan lebat tahap buruk dijangka berlaku di Kedah (Padang Terap, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin).

Manakala hujan berterusan tahap waspada pula di Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Kuala Kangsar) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru). – Malaysiapost

Komen