Banjir : Jalan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu ditutup kepada lalu lintas

Banjir : Jalan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu ditutup kepada lalu lintas

SEBANYAK 13 jalan, termasuk laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu ditutup kepada lalu lintas selepas dinaiki air di antara 0.3 meter (m) dan 1.5m, hari ini.

Jalan utama Kuala Terengganu ke Kota Bharu di Kampung Bukit Yong, Besut, ditutup kepada semua lalu lintas selepas ditenggelami air sedalam 0.3m sejauh kira-kira 300m.

Berdasarkan data portal rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR), turut ditutup kepada semua lalu lintas adalah jalan Jertih-Keruak apabila ditenggelami air sedalam 0.90m sejauh kira-kira 300m.

Laluan lain yang ditutup adalah Jalan Kampung Matang/Nibong/Kuala Telemong di Kampung Jerubun, Kuala Berang, selepas ditenggelami air sedalam 0.76m sejauh 100m, lapor Harian Metro.

Turut ditutup adalah Jalan Kampung Kuala Pueh/Tapah/Payang Kayu/Baung/Kuala Ping di Kampung Felcra Bukit Kepah, Kuala Berang, apabila ditenggelami air sedalam 0.76m sejauh 200m.

Empat lagi jalan di daerah Hulu Terengganu yang ditutup kepada semua lalu lintas adalah Jalan Matang/Nibong/Kuala Telemong di Kampung Talor, Jalan Simpang Gaung/Sungai Tong di Kampung Kuala Ping, Jalan Simpang Gaung/Sungai Tong, di Kampung Kepah dan di Jalan Bukit Diman/Tersat di Kampung Pengkalan Ajal selepas masing-masing ditenggelami air antara 200m dan 350m pada jarak sejauh 0.76m dan 1.5m.

Tiga jalan yang turut ditutup kepada semua lalu lintas adalah Jalan Langkap/Pelong di Kampung Merbau Menyusut dan Jalan Chalok/Bukit Putera/Telaga Papan serta Jalan Pengkalan Merbau/Pelong di Kampung Mak Balah di daerah Setiu, selepas ditenggelami air masing-masing sedalam 0.8m sejauh antara 100m hingga 500m.

Di daerah Dungun, tiga jalan yang ditutup kepada semua kenderaan adalah di Jalan Tepus/Kuala Jengal berhampiran Riverside Dfarm Resot, Jalan Tepus/Kuala Jengal di Kampung Air Jernih di kawasan Jambatan Besar ke Kampung Minda Talong dan di Jalan Tepus/Kuala Jengal di Kampung Rantau Panjang.

Jalan berkenaan ditenggelami air antara 0.8m dan 0.9m sejauh kira-kira 150m.

Menurut portal rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak 16 lagi jalan dinaiki air antara 0.25m dan 0.35m ditutup kepada kenderaan ringan.

Pengguna jalan raya dinasihatkan merujuk dan mendapatkan maklumat mengenai penutupan jalan dengan melayari portal Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR). – Malaysiapost

Komen