Banjir: Laluan LPT2 Ajil-Bukit Besi dinaiki air

Banjir: Laluan LPT2 Ajil-Bukit Besi dinaiki air

LALUAN Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 di Kilometer 393, Ajil-Bukit Besi, Terengganu hari ini dinaiki air akibat aliran air deras dari bukit berhampiran susulan hujan lebat sejak pagi ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hasmeera Hassan berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira 10 kilometer dari Plaza Tol Ajil ke Bukit Besi itu pada jam 11 pagi.

“Video yang tular dalam media sosial ketika ini berhubung kejadian adalah sahih, kawasan tersebut juga sebenarnya merupakan laluan air.

“Bagaimanapun setakat jam 12.30 tengah hari ini, laluan masih boleh dilalui dan tiada penutupan jalan di LPT 2 setakat ini,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pengguna di LPT 2 diharapkan berhati-hati serta sentiasa peka dengan perkembangan semasa, selain perlu mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Terdahulu, satu video memaparkan aliran air turun deras daripada atas bukit di tepi lebuh raya tular di media sosial sejak pagi tadi.

Keadaan jalan itu juga dipenuhi air dan kelihatan beberapa kakitangan syarikat lebuh raya itu sedang mengawal situasi. – Malaysiapost

Komen