Banjir : Mangsa meningkat kepada 10,870

Banjir : Mangsa meningkat kepada 10,870

JUMLAH keseluruhan mangsa banjir di seluruh negara pada terus meningkat dalam tempoh lima jam daripada 5,385 orang kepada 10,870 setakat jam 9 malam ini.

Berdasarkan data laman web InfoBencana JKM, Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 5,832 orang melibatkan 1,737 keluarga yang ditempatkan di 59 PPS yang dibuka.

Sementara itu, Terengganu pula merekodkan seramai 4,865 mangsa banjir yang berada di 96 PPS dan melibatkan 1,439 keluarga.

Seramai 40 mangsa di Pahang yang terdiri daripada 13 keluarga pula ditempatkan di satu PPS manakala di Johor pula, kekal 75 mangsa daripada 21 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS yang disediakan.

Di Perak pula, dua PPS yang dibuka menempatkan 49 mangsa daripada 21 keluarga.

Perkembangan terbaharu insiden banjir di Sarawak pula menyaksikan 9 mangsa daripada 2 keluarga yang berada di sebuah PPS yang dibuka hari ini.

Terdahulu, media melaporkan cuaca dilaporkan hujan di lima negeri mengakibatkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,385 orang daripada 1,551 keluarga, sehingga jam 4 petang tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata semua mangsa kini ditempatkan di 77 pusat pemindahan sementara (PPS) di 17 daerah yang terjejas di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. – Malaysiapost

Komen