Beberapa kawasan di Raub kembali dilanda banjir

Beberapa kawasan di Raub kembali dilanda banjir

SEBANYAK 34 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kampung Pia di Dong, Raub selepas tiga kampung di kawasan itu dinaiki air, hari ini.

Kejadian tersebut berlaku selepas hujan lebat berterusan sejak petang semalam hingga 1 pagi tadi.

Keadaan itu menyebabkan sungai melimpah masuk ke kawasan penempatan Kampung Sungai Kerak, Kampung Ajai dan Kampung Kuala Dong.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman, berkat, kesemua mangsa yang dipindahkan sejak awal pagi tadi di PPS Kampung Pia.

“Mereka dipantau keselamatan dan kebajikan oleh APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, menurut Ketua Zon Tiga JPBM Pahang, Shahrul Nizam Nasir, seramai enam anggota JBPM Raub, empat PDRM dan tujuh APM Raub menjalankan kerja pemindahan mangsa sejak awal pagi ini.

“Operasi pemindahan ini serta pemantauan keselamatan di PPS tersebut dibantu dengan kekuatan empat kereta dan lori penyelamat milik PDRM dan JBPM, manakala APM Raub menyediakan sebuah bot penyelamat dan ambulans,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shahrul Nizam menjelaskan aliran Sungai Dong berdekatan Kampung Pasir Bayam pada paras amaran, iaitu setinggi 117.84 meter, manakala Sungai Gali berdekatan Kampung Ulu Gali juga di paras bahaya mencatat ketinggian 123.09 meter pada jam 7 pagi ini.

Beliau berkata, air Sungai Lipis berdekatan Batu Malim dan Sungai Dong berdekatan Kampung Peruas masih menunjukkan paras biasa dan bertahan, manakala keadaan cuaca pada pagi ini cerah.

Ujarnya, penduduk di pesisir Sungai Dong, Sungai Gali dan Sungai Lipis dinasihatkan sentiasa berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat yang sahih tentang situasi banjir di kawasan tersebut daripada anggota APM, JBPM, polis dan pihak berkuasa beruniform lain. – Malaysiapost

Komen