Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew sambung Selasa ini

Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew sambung Selasa ini

KES perbicaraan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew akan bersambung di Mahkamah Majistret Tenom bermula 20 sehingga 22 Disember ini.

Prosiding berkenaan adalah bagi meneruskan perbicaraan yang ditangguhkan sebelum ini selepas berlangsung selama empat hari pada 27 hingga 30 September lalu, lapor Harian Metro.

Pihak pendakwaan setakat ini sudah menampilkan tiga saksi termasuklah pendakwah bebas, Firdaus Wong pada hari ketiga dan keempat.

Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Asyraf Zolhani sebelum ini mengenakan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan terhadap Ebit yang tidak mengaku salah atas 11 pertuduhan berkenaan. – Malaysiapost

Komen