Dayangku Intan, Zool Amali sertai PAS, isyarat kebangkitan rakyat

Dayangku Intan, Zool Amali sertai PAS, isyarat kebangkitan rakyat

PENYERTAAN penyanyi 80-an, Dayangku Intan dan bekas Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Husin dalam PAS adalah isyarat gelombang kebangkitan rakyat di selatan tanah air.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata ia juga petanda baik kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun depan.

“Syabas dan tahniah kepada Zool Amali bersama rakan- rakan yang secara rasminya telah menyerahkan borang keahlian PAS semalam.

“Turut bersama PAS adalah Dayangku Intan atau Tengku Intan Tengku Abdul Hamid yang bermastautin di Lenggeng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ia satu lagi rakaman sejarah yang bakal membawa gelombang kebangkitan di selatan tanah air.

Sehubungan itu, Khairil Nizam berkata, tiga lagi cawangan baharu PAS akan ditubuhkan di Lenggeng susulan penyertaan Zool Amali yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PEKIDA Seremban.

“Ini juga petanda yang baik kepada persiapan PN menjelang PRN tahun depan.

“Jom sertai PAS dan kita bersama-sama membawa gelombang kebangkitan rakyat atas nama Perpaduan Ummah,” katanya.

Semalam, Dayangku Intan dan Zool Amali mengumumkan menyertai PAS.

Penyertaan Dayangku Intan di dalam politik bermula dengan Umno sebelum menyertai PKR dan kemudian keluar parti pada 2020.

Beliau juga pernah bertanding atas tiket PKR di kerusi Parlimen Pengerang, Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-13, namun tewas.

Sementara itu, Zool Amali bertindak meletakkan jawatan selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi Umno.

Turut mengikut jejaknya ialah seramai 50 ahli jawatankuasa dan ahli biasa, khususnya daripada Cawangan Umno Kampung Rawa Lenggeng. – Malaysiapost

Komen