GRS gugurkan keanggotaan Bersatu

GRS gugurkan keanggotaan Bersatu

AHLI Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggugurkan keanggotaan Bersatu sebagai ahli badan gabungan itu dalam mesyuarat AMT parti itu, 9 Disember lalu.

Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata, pada mesyuarat yang dipengerusikannya itu, AMT GRS turut membuat keputusan untuk mengekalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pengerusi GRS.

“Mesyuarat tersebut juga memutuskan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atas komitmen membina kerajaan yang stabil demi kepentingan kesejahteraan rakyat dan pembangunan tanah air,” katanya dalam , hari ini.

Justeru, beliau berkata, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee atau Bersatu tidak ada hubungan dengan perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan yang prinsip dan matlamatnya telah ditolak oleh Bersatu.

Semalam, Ronald mendakwa MoU ditandatangani GRS adalah tidak sah, kerana Bersatu sebagai ahli GRS tidak pernah terbabit dalam sebarang perbincangan untuk menyertai perjanjian itu.

Kelmarin, lima gabungan parti politik utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), GRS dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun memeterai perjanjian itu bagi pihak GRS manakala Hajiji menandatangani perjanjian itu sebagai saksi bagi pihak GRS. – Malaysiapost

Komen