MoU Kerajaan Perpaduan lebih demokratik berbanding era Muhyiddin – Rafizi

MoU Kerajaan Perpaduan lebih demokratik berbanding era Muhyiddin – Rafizi

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan disifatkan langkah jauh lebih demokratik berbanding ketika kerajaan di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rafizi berkata, ia juga termasuk dengan keputusan mengadakan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat, minggu depan.

Beliau berkata, malah 148 Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan sebenarnya bebas untuk mengundi mengikut kepakaran dan pandangan masing-masing kecuali dalam perkara bersabit dengan keabsahan seperti yang sudah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Anti Lompat Parti.

“Selalunya ada dua bentuk undi di Parlimen yang bersabit keabsahan kerajaan. Pertama, jika ada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, keduanya, undian kepada bajet tahunan dibuat.

“Selain daripada dua undi ini sebenarnya Ahli Parlimen bebas untuk mengundi mengikut pandangan masing-masing dan itu tidak tertakluk kepada Fasal 4 dalam perjanjian ini.

“Bagi saya ini jauh lebih demokratik, berbanding dengan keadaan berlaku sebelum ini sewaktu Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

“Ketika itu apabila nampak sudah hilang majoriti dia menggunakan kuasa darurat untuk memerintah tanpa cuba untuk mengesahkan sokongan majoriti di Parlimen pun, sebab itu agak lucu apabila satu-satunya reaksi daripada PN adalah kononnya ini satu langkah berbahaya ke arah wujud diktator di bawah Perdana Menteri ke-10,” katanya dalam hantaran video di Facebook hari ini.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi turut memaklumkan beliau dan Ahli Parlimen Selayang, Willie Leong antara individu yang menyediakan draf asal perjanjian itu untuk dirundingkan dengan parti-parti lain.

“Kenapa perlu ada perjanjian?, sebab kita nak selamatkan negara ini daripada menjadi mangsa ‘katak-katak’ politik, budaya menggunakan ‘katak-katak’ politik untuk membentuk kerajaan ini dimulakan Muhyiddin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa Langkah Sheraton dulu.

“Kita ingat dengan adanya Akta Lompat Parti mereka sudah serik dan perkara ini tidak akan berulang, rupa-rupanya tidak. Sebaik saja keluar keputusan PRU15, PN cuba ‘menculik’ 10 Ahli Parlimen BN untuk menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri tanpa persetujuan BN.

“Jika ini berlaku, maka negara terus menjadi kucar-kacir kerana kerajaan dibentuk atas sokongan peribadi Ahli Parlimen, bukannya daripada persetujuan parti-parti.

“Ini memberi nilai kepada Ahli Parlimen perseorangan dan akan terus berlaku tawar-menawar dan saling jatuh-menjatuhkan untuk mendapatkan jawatan. Kita pun tidak tahu apa yang ditawar dan dijanjikan Muhyiddin kepada 10 orang Ahli Parlimen BN,” katanya.

Beliau berkata, kerana itu PH mengambil pendirian untuk memastikan kestabilan politik dan membaiki keadaan ekonomi negara.

“Sebarang pembentukan kerajaan perlulah berlaku di antara sesama parti bukan di antara Ahli Parlimen perseorangan seperti yang Datuk Seri Azmin Ali buat dulu.

“Bila ada perjanjian seperti ini maksudnya penyertaan parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan sudah menjadi dasar dan pendirian parti itu.

“Sekiranya dalam pengundian membabitkan keabsahan Kerajaan Perpaduan ada Ahli Parlimen dari mana-mana parti yang cuba sabotaj atau dibeli hingga menjejaskan keabsahan Kerajaan Perpaduan, tindakan itu dikira sebagai melanggar pendirian dan kedudukan mereka di dalam parti,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa MoU yang memaksa Ahli Parlimen undi usul kepercayaan untuk Perdana Menteri atau kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) dianggap tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator. – Malaysiapost

Komen