MoU Kerajaan Perpaduan sekat demokrasi berparlimen – Pemuda PN

MoU Kerajaan Perpaduan sekat demokrasi berparlimen – Pemuda PN

PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menyifatkan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan, bukan perjanjian kerjasama sebaliknya adalah perjanjian haram yang menyekat, merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata peruntukan perjanjian itu memerlukan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan) mengundi seperti dikehendaki Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perjanjian Persefahaman tersebut adalah haram dan tidak sah di sisi undang-undang kerana ia adalah menyekat dan bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen yang merupakan ciri asas kerajaan Malaysia berpaksikan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli berkata Pemuda PN telah membuat laporan polis berkenaan pakatan jahat antara pemimpin parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, Pemuda PN percaya MoU itu tidak sah disisi undang-undang menurut Seksyen 24 dan 25 Akta Kontrak 1950 kerana objektifnya bercanggah dengan polisi awam dan berunsur salah.

“Pemuda PN membuat laporan ini untuk mengekang perbuatan jenayah pemimpin-pemimpin PH, BN, GPS, GRS dan Warisan dalam menekan asas kebebasan ahli-ahli Parlimen yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menekan hak dan suara mereka supaya boleh disenyapkan.

“Ini satu perbuatan salah merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen. Saya memohon pihak polis untuk menyiasat perkara ini supaya keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dapat dijamin dan keamanan negara dapat dipelihara,” katanya.

Jumaat lalu, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Anwar bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan.

Perkara itu dimeterai melalui Majlis MoU Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan, di bangunan Perdana Putra. – Malaysiapost

Komen