Pam air berkuasa tinggi atasi masalah ‘banjir termenung’ – TPM

Pam air berkuasa tinggi atasi masalah ‘banjir termenung’ – TPM

KERAJAAN akan menambah dan mengimport pam-pam berkuasa tinggi sebagai langkah penyelesaian masalah banjir termenung di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah tersebut bagaimanapun perlu mengikut tatacara pembelian ditetapkan.

“Saya akan lakukan koordinasi dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengaliran Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) untuk lihat segera bagaimana pam berkuasa tinggi dapat ditempatkan segera di seluruh negara.

“Saya akan teliti pam-pam kuasa tinggi ini yang sedia ada, jika perlu diimport segera, saya harap dapat JPS, NADMA dan APM kemukakan cadangan ikut tatacara pembelian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat, di Bagan Datuk, hari ini.

Beliau berkata selain itu, antara langkah penyelesaian segera juga adalah dengan memindahkan pam-pam sedia ada ke kawasan banjir termenung.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, beliau meminta penambahan pam berkuasa tinggi turut ditempatkan di kawasan banjir di Bagan Datuk.

Katanya, pam berkenaan penting sebagai langkah segera mengawal banjir selain daripada projek tebatan banjir yang sudah dirancang.

“Saya berharap penduduk dan keluarga yang terkesan tabah menghadapi dugaan ini dan didoakan agar keadaan banjir di kawasan ini akan bertambah baik,” katanya. – Malaysiapost

Komen