Perpecahan, perbalahan umat semakin ‘galak’ pasca PRU15 – Khairuddin

Perpecahan, perbalahan umat semakin ‘galak’ pasca PRU15 – Khairuddin

BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa perbalahan dan perpecahan umat Islam dilihat semakin ketara selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, keadaan itu dapat dilihat khususnya menerusi media sosial dan menegaskan ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Pasca PRU perbalahan dan perpecahan umat semakin galak dan hangat khususnya menerusi media sosial. Umat yang sepatutnya disatukan semakin koyak dan rabak persaudaraannya.

“Islam ini hebat dengan akhlak. Islam ini agama kesatuan dan bukannya perpecahan. Para pejuang politik Islam lebih aula menjaga akhlak dan menyatukan umat sepertimana dididik oleh Nabi SAW,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, adalah sesuatu tidak wajar apabila mereka berperwatakan agama turut dilihat tidak berasa malu melontarkan maki hamun serta menanam benci sesama Muslim.

“Bagaimana kita semua termasuklah yang memakai kopiah dan berjubah tanpa malu kepada Allah dan manusia memperluaskan maki hamun.

“(Selain) menghina, mencerca, menuduh, memfitnah dan menanam benci membenci sesama muslim. Ia satu fitnah terhadap Islam dan umat,” katanya.

Justeru, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menyeru umat Islam kembali membina jambatan persaudaraan untuk rakyat.

Pada PRU15 lalu, Khairuddin yang bertanding atas tiket Barisan Nasional gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus.

Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Alias Razak daripada PAS dengan majoriti 29,765 undi. – Malaysiapost

Komen