Raja Permaisuri Agong berkenan lawat lokasi tanah runtuh

Raja Permaisuri Agong berkenan lawat lokasi tanah runtuh

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat lokasi kejadian tanah runtuh, di Jalan Batang Kali-Genting hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor dalam hantaran Facebook, berkata Baginda berangkat tiba sekitar jam 4.21 petang sebelum diberi taklimat oleh pihak berkuasa.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Lawatan itu untuk mengetahui perkembangan semasa gerak kerja mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian,” katanya.

Sehingga kini, lokasi pencarian tertumpu di tiga sektor iaitu sektor A (Kem Hill View), B (Kem Farm View) dan C (Kem Riverside).

Setakat petang Sabtu, 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Jalan Genting-Batang Kali itu. – Malaysiapost

Komen