Tanah runtuh: Unit anjing pengesan K9 ditugas secara penggiliran

Tanah runtuh: Unit anjing pengesan K9 ditugas secara penggiliran

SEBANYAK tiga Unit Anjing Pengesan (K9) digunakan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tertimbus dalam runtuhan cerun di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland yang memasuki hari ketiga, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata jumlah tersebut berkurangan daripada tujuh K9 yang digunakan pada dua hari pertama yang bermula Jumaat lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah K9 akan ditambah mengikut peringkat sebanyak empat unit lagi pada waktu tengahari.

“Pada hari ini, kita lepaskan dulu tiga K9 sebelum ditambah kepada empat unit lagi pada waktu tengahari.

“Ini bagi membolehkan penggiliran tugas dibuat selepas K9 ini bekerja dua hari tanpa rehat.

“Pada masa sama, kita juga perlu mementingkan keselamatan K9 yang berada di kawasan jentera sedang beroperasi dan berlakunya peralihan tanah,” katanya dalam sidang media di lokasi berkenaan, hari ini,

Sehingga semalam, seramai 24 mangsa terkorban dalam tragedi terburuk tahun ini yang berlaku pada jam 2.24 pagi Jumaat lalu.

Seramai 94 mangsa terlibat dalam tragedi menyayat hati itu.

Daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan masih dikesan. – Malaysiapost

Komen