Banjir: 6 jalan hubungkan Terengganu-Kelantan ditutup

Banjir: 6 jalan hubungkan Terengganu-Kelantan ditutup

ENAM jalan di daerah Setiu yang menghubungkan Terengganu dan Kelantan terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan buat masa ini, berikutan banjir yang sedang melanda negeri Pantai Timur.

Polis Terengganu dalam kenyataan, memaklumkan jalan yang ditutup sepenuhnya adalah Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (berhampiran Petronas Permaisuri di Kampung Balik Bukit); Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (di lampu isyarat Guntong); dan Jalan Guntong-Kampung Saujana (di Kampung Guntong Dalam).

“Jalan yang turut terputus untuk kenderaan berat dan ringan adalah Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (di Kampung Buluh); Jalan Permaisuri-Kampung Hulu Seladang (di Kampung Besut); dan Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja (berdekatan Bulatan Che Selamah di Jalan Pantai),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn Bhd dalam kenyataan di Facebook rasmi hari ini memaklumkan berikutan laluan terhalang di KM393.4 antara laluan Bukit Besi ke Ajil yang ditutup ekoran cerun runtuh, pemandu dari Kuala Lumpur yang menghala ke Kuala Terengganu dinasihatkan keluar di Plaza Tol Dungun (Mandatori Exit) dan mereka dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Pantai (FT03).

“Bagaimanapun, perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan dan Kuala Lumpur menggunakan Lebuhraya LPT2 masih boleh dilalui oleh semua kenderaan seperti biasa,” – katanya. – Malaysiapost

Komen