Bayi 15 bulan korban pertama banjir di Kelantan

Bayi 15 bulan korban pertama banjir di Kelantan

SEORANG bayi lelaki berusia 15 bulan ditemukan lemas di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, Kelantan, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, mangsa dikatakan bermain di anjung rumah bersama kakaknya sebelum hilang di kawasan rumahnya yang sedang dilanda banjir.

“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu tengah hari tadi dan jentera digegaskan ke lokasi kejadian pada 1.04 tengah hari untuk operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa sudah dijumpai penduduk kampung dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu nenek mangsa, Siti Khadijah Abdullah, 52, berkata, cucunya Mohamad Putera Zafran Mohd Ashwadi, yang disahkan mangsa korban pertama banjir di Kelantan dikatakan sangat takut dengan air.

Siti Khadijah berkata, Zafran tidak pernah sesekali pun cuba untuk turun dari rumah selepas kediaman mereka dinaiki banjir sejak hampir dua minggu.

“Biasanya, cucu saya memang takut dengan air dan tidak pernah sesekali cuba untuk turun dari rumah selepas kediaman kami dinaiki banjir hampir dua minggu.

“Saya reda, mungkin sudah sampai masanya saya kehilangan cucu yang sangat aktif dan petah berkata-kata itu,” katanya

Dalam pada itu, Siti Khadijah mengakui hati luluh melihat jasad cucunya itu kaku tidak bernyawa selepas ditemui berdekatan tangga rumah.

“Ketika kejadian saya dan anak (ibu mangsa, Noriza Che Jusoh, 34) sedang mengemas di bahagian dapur sebelum mendapati Zafran hilang, lalu berusaha mencarinya di seluruh bahagian rumah.

“Kami mula tidak sedap hati sebelum anak bongsu lelaki terus menyelam beberapa kali dan menemui cucu saya itu yang sudah kaku berdekatan tangga rumah.

“Kami cuba sedaya upaya untuk menyedarkannya, namun tidak berjaya,” katanya.

Siti Khadijah berkata, cucunya dibawa menaiki lori bomba ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat dan jika semuanya selesai, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual To’Deh. – Malaysiapost

Komen