DUN Perak: Mohamad Zahir dipilih semula Speaker, Jenny Choi Timbalan

DUN Perak: Mohamad Zahir dipilih semula Speaker, Jenny Choi Timbalan

BEKAS Exco Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dilantik semula Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15, hari ini.

Pencalonan Mohamad Zahir sebagai Speaker dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) yang kemudian disokong A Sivanesan (PH-Sungkai).

Setiausaha DUN Perak, Muhammad Nazri Abdullah kemudian mengisytihar Mohammad Zahir sebagai Speaker DUN Perak selepas tiada calon lain dikemukakan.

Pada masa sama, Jenny Choi Tsi Jen (PH-Canning) dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN Perak setelah menjadi calon tunggal untuk jawatan tersebut.

Pencalonannya dikemukakan Mohammad Nizar Jamaluddin (PH-Sungai Rapat) dan disokong Salbiah Mohamed (BN-Temengor).

Pada Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah dimulai dengan Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan diikuti semua wakil rakyat kerajaan serta pembangkang di hadapan Mohammad Zahir.

Pada 12 Mei 2020, Mohammad Zahir dipilih sebagai Speaker DUN Perak menggantikan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Berusia 52 tahun, Mohamad Zahir berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang daripada Universiti Leeds, England.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum berkhidmat sebagai Perancang Korporat di MARA Holdings.

Selepas terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting mewakili Barisan Nasional (BN) pada 2008, Mohamad Zahir dilantik sebagai Exco dari 2009 sehingga 2018. – Malaysiapost

Komen