Fadillah bentang usul undi percaya sokong PM Anwar

Fadillah bentang usul undi percaya sokong PM Anwar

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan usul undi percaya terhadap keabsahan Perdana Menteri ke-10 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengikut kandungan usul yang bentang Fadillah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjunjung kasih dan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas cetusan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, ini berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meyebabkan situasi Parlimen tergantung di mana tiada parti politik atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah.

Dalam usul sama, Fadillah memaklumkan, Kerajaan Perpaduan komited untuk menggalas amanah rakyat termasuk giat melaksanakan segala gerak kerja termasuk menyusun strategi baharu bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial, perubahan persekitaran dan sebagainya.

Usul itu juga menyebut, pentadbiran Kerajaan Perpaduan akan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan serta kesaksamaan sosial termasuk usaha-usaha reformasi bidang-bidang tertentu.

“Atas dasar itu, kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 Kerajaan Perpaduan perlu disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Perpaduan berikrar dengan iltizam yang jitu untuk terus menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi, menyatupadukan semua rakyat,” katanya.

Justeru katanya, Dewan Rakyat perlu mengambil ketetapan dan berikrar memberi sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Anwar selaku Perdana Menteri bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.

“Dengan ini, bahawasanya Dewan ini berdiri teguh sambil menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh,” katanya. – Malaysiapost

Komen