Guan Eng duduk sebelah Ismail Sabri di Dewan Rakyat

Guan Eng duduk sebelah Ismail Sabri di Dewan Rakyat

JIKA dahulu penampilan mereka seakan ‘bermusuh’ namun kini Pengerusi DAP, Lim Guan Eng duduk bersebelahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, hari ini.

Perkara tersebut dikongsi Ahli Parlimen Bagan itu menerusi gambar dimuatnaik di Facebooknya, ketika sesi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15.

Menerusi gambar yang dikongsi Guan Eng itu, tempat duduk Ismail Sabri berada di tengah-tengah antara dirinya dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Satu lagi gambar dikongsi beliau memaparkan barisan belakang tempat duduknya menempatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, manakala sebelahnya pula Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Guan Eng dalam hantarannya memaklumkan mengenai kedudukannya di Dewan Rakyat pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15.

Beliau pada masa sama mengucapkan selamat bersidang kepada rakan-rakan baharu dan lama yang telah dipilih oleh rakyat.

“Kedudukan tempat kerusi Bagan pada hari pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen Ke-15. Selamat bersidang kepada rakan-rakan lama dan baru yang telah dipilih oleh rakyat. Malaysia maju jaya,” tulisnya dalam hantaran itu.

Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan banyak kejutan berlaku dalam arena politik negara sehingga terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Persidangan hari pertama pada Isnin juga turut melakar sejarah tersendiri apabila kedudukan ahli Dewan Rakyat daripada PH dan BN kini berada sebaris dalam satu blok.

Selain PH dan BN, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dianggotai tiga lagi gabungan lain iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan). – Malaysiapost

Komen