Hadiah ‘pencen’ untuk Messi

Hadiah ‘pencen’ untuk Messi

Ben Ibrahim

KEMENANGAN Argentina dalam aksi final Piala Dunia 2022 adalah pelengkap kerjaya cemerlang Lionel Messi.

Ketua jurulatih Kelab Bolasepak Sri Pahang (Sri Pahang FC), Datuk Dollah Salleh turut menyifatkan kejayaan Argentina itu juga adalah hadiah ‘pencen’ untuk penyerang berbisa itu.

“Walaupun saya tidak menyokong mana-mana pasukan, tapi saya memang nak tengok sangat Messi menang Piala Dunia.

“Lagipun inilah peluang untuk nama dia diletakkan sebaris dengan pemain lagenda Argentina, Diego Maradona.

“Saya memang akan rasa sedih kalau dia tak menang dan nampaknya tercapai sudah impian Messi untuk menamatkan kerjaya (antarabangsa) dengan penuh bergaya,” katanya.

Dollah berkata demikian kepada media selepas sesi tontonan perlawanan akhir Piala Dunia 2022 anjuran Adena Beach Resort, Kuantan, awal pagi tadi.

Kira-kira 200 pengunjung memeriahkan acara berkenaan yang turut menawarkan pelbagai hadiah melalui peraduan kuiz oleh penganjur.

Dollah turut mengakui Argentina lebih banyak menguasai permainan namun gagal mengekang kebangkitan skuad Perancis pada separuh masa kedua.

“Secara keseluruhannya saya lihat memang Argentina lebih banyak menguasai permainan dan boleh menamatkan perlawanan lebih awal.

“Namun, kita tak sangka Perancis boleh bangkit pada babak kedua hingga mengheret perlawanan hingga ke penentuan sepakan penalti,” katanya.

Perlawanan berlanjutan hingga sepakan penalti itu menyaksikan Argentina menewaskan Perancis 4-2.

Kedua pasukan seri 3-3 selepas waktu permainan sebenar dan masa tambahan berakhir.

Dua gol Argentina dijaringkan Messi pada minit 23 dan 108 manakala satu lagi gol dijaringkan Angel Di Maria pada minit ke 36.

Bintang kelab Paris St German, Kylian Mbappe mencipta sensasi apabila menjaringkan hatrik pada perlawanan itu.

Messi sebelum ini mengesahkan rancangan persaraannya itu ketika ditemubual media Argentina, Diario Deportivo Ole pada Rabu lalu.

Messi juga berkata aksi final menentang Perancis adalah perlawanan terakhirnya bagi pasukan gergasi Argentina.

Kemenangan itu juga menamatkan penantian 36 tahun gergasi bolasepak dari negara Amerika Latin itu. – Malaysiapost

Komen