Hamzah dakwa usul undi percaya terhadap Anwar sekadar gimik

Hamzah dakwa usul undi percaya terhadap Anwar sekadar gimik

DATUK Seri Hamzah Zainudin menyifatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah gimik semata-mata terutama selepas perjanjian dimeterai yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pembangkang itu berkata, usul yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu mewujudkan pelbagai persoalan.

“Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kami sedar bahawa usul ini adalah gimik semata-mata apatah lagi dilakukan selepas satu perjanjian kerjasama ditandatangani semua pemimpin untuk menyokong Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika sesi berbahas pada usul percaya Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen Larut juga minta Anwar menyaman media Eropah yang telah menerbitkan artikel mengenai pelantikannya sebagai perdana menteri dengan menggelarnya sebagai “homoseksual sepenuhnya” (full-blown homosexual).

Beliau berkata, jelas adalah satu penghinaan kepada Anwar, justeru beliau mesti mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

Sebelum ini, sebuah media luar negara telah menyebut Anwar sebelum ini telah disabitkan “mengenai perkara itu”, merujuk kepada sabitan kesalahan liwat.

Laporan media itu juga menyatakan Anwar yang terpalit dengan kesalahan liwat mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

Komen